Skip to main content

Sepak Takraw

Sumali Reduan enggan sepak takraw Malaysia dibuai selesa, Thailand sedang buat sesuatu

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Sumali

Bangkit daripada luka baru lebih mudah berbanding mempertahankan gelaran.

Demikian amaran Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, menjelang Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia yang bakal membuka tirai di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur (KL) Mei depan.

Advertisement

Penguasaan Malaysia dalam acara berpasukan dan regu dalam Sukan SEA Thailand bukan bayangan tepat untuk mengatakan Malaysia kini lebih dominan di pentas utama sukan takraw.

Malah, kesan daripada kegagalan skuad Gajah Perang sudah pasti membawa pengajaran luar biasa selepas Thailand selesa dengan gelaran Raja Sepak Takraw Dunia sejak sekian lama.

Thailand khabarnya sudah membuat rombakan besar-besaran untuk kembali melunas maruah yang tercalar dari pertandingan dwitahunan lalu dengan hasrat turun ke KL untuk membalas dendam.

"Saya setuju. Dalam keadaan kita meraih kejuaraan, sudah pasti Thailand sedang merangka persiapan rapi.

"Kita (Malaysia) sentiasa berhati-hati dan tidak mahu terlalu selesa.

"Ada ketika prestasi kita tidak begitu bagus, jadi ia akan mendatangkan masalah.

"Kita sedang memperhalusi segala sudut untuk membentuk pasukan kebangsaan," katanya di Nadi Arena.

Dalam masa sama, Sumali menganggap kejayaan bintang kebangsaan, Syahir Rosdi, dinobat sebagai Tekong Terbaik Dunia oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) sebagai paling layak.

Ia, merujuk kepada konsistensi Syahir sepanjang penampilan bersama skuad kebangsaan dalam Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan SEA 2025.

"Bukan mudah untuk raih pencapaian ini walaupun dia sudah lama berkecimpung dalam arena.

"Perjalanan dia panjang. Syahir pernah digantung dan sebagainya.

"Dia bersungguh-sungguh. Pelbagai inisiatif dibuat untuk meletakkan dirinya pada tahap terbaik," tambahnya.

Must Watch Video