Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan rasa dukacita berhubung insiden penyokong di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Menerusi kenyataan rasmi di Facebook, baginda jelas tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gangsterisme yang kian menular di kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi pasukan Selangor.
Advertisement
Baginda selaku Penaung Selangor turut mencadangkan agar penyokong-penyokong Gergasi Merah yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, agar diharamkan daripada masuk ke stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu.
Terdahulu, beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan sekumpulan penyokong Selangor berarak sambil membawa bendera pasukan dari arah bandar raya menuju ke Jambatan Angkat sebelum menyalakan suar ketika berada di tengah jambatan tersebut.
Kejadian itu berlaku sebelum perlawanan Liga Super membabitkan Terengganu menentang Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Kuala Nerus pada hari sama.
Mereka kemudiannya ditahan kerana mengancam keselamatan awam.