Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka mencemar duli menyertai Kejohanan Golf Fillah Tuanku Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung esok.
Baginda dijangka beraksi bersama kira-kira 120 peserta dalam kejohanan yang julung kali dianjurkan di Sungai Long Golf and Country Club itu.
Penganjuran kejohanan berkenaan diadakan bersempena Sambutan Jubli Perak UMPSA yang bakal diraikan pada 16 Februari 2027.
Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah UMPSA, Datuk Saiful Bahri Ahmad Bakarim, keadaan padang ketika ini berada pada tahap baik menjelang kejohanan.
“Keadaan padang amat baik tetapi cuaca agak panas. Saya rasa esok kejohanan ini akan berjalan dengan baik,” katanya.
Sementara itu, alumni UMPSA, Redzuad Ras, berkata kejohanan tersebut turut menjadi platform untuk menghimpunkan semula alumni selain memberi mereka peluang menyumbang kepada universiti.
“Kami memberi peluang untuk alumni kembali menyumbang kepada universiti dengan mengadakan kejohanan,” katanya.
Kejohanan Golf Fillah Tuanku Canselor UMPSA diharap bukan sahaja menjadi medan sukan dan jaringan antara peserta, malah mengeratkan hubungan antara universiti, alumni serta komuniti sempena sambutan Jubli Perak UMPSA.