Kapten skuad sepak takraw Selangor, Syafi Haziq Baharudin, akui memikul tanggungjawab dan amanah besar bagi memacu pasukannya mencapai sasaran dua pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2026 bulan depan.
Sedar tugas berat menantinya, tekong kelahiran Banting itu percaya Selangor memiliki kualiti untuk mencipta kejayaan, terutama dengan beraksi selaku tuan rumah edisi kali ini.
Untuk rekod, dalam edisi Sukma Sarawak 2024, skuad sepak takraw lelaki Selangor membawa pulang satu pingat perak dan satu gangsa, masing-masing menerusi acara regu berpasukan dan regu.
"Setakat ini semua berjalan dengan lancar, kami membuat persiapan dengan teliti dan berkualiti," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Daripada perspektif saya, ia memberikan tekanan dan motivasi kerana kami akan beraksi di laman sendiri."
"Secara jujurnya amanah ini berat. Saya berharap pasukan ini akan memperoleh pingat emas dan mencipta kenangan yang indah buat kali terakhir ini."