Sensasi Pahang, Cheah Zen Hong yang pernah menggemparkan pentas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak pada 2024 dengan 7 kilauan pingat emas kembali ke temasya dwi tahunan ini dengan menawan Lapang Sasar Kebangsaan di Subang.
Pada penampilan dalam acara 10 meter (m) pistol lelaki pada Rabu, Zen Hong mempamerkan aksi konsisten untuk bukan sahaja mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam acara itu, malah turut memecahkan rekod Sukma miliknya sendiri.
Atlet menembak kebangsaan itu bukanlah nama asing di pentas Sukma apabila sudah mencuri perhatian ramai pada penampilan sulungnya di Sukma Kuala Lumpur pada 2022 dengan meraih tiga pingat emas.
Atlet berusia 20 tahun itu, kemudiannya tampil ampuh di Sukma Sarawak dengan menyumbang tujuh pingat emas buat kontinjen Pahang.
Sumbangan pingat emas terbaharunya di Sukma Selangor itu pula menjadikan keseluruhan lima pingat emas sudah pun direkodkan setakat ini dan dijangka akan terus menambah pungutan pingat sebelum menokhtahkan perjalanannya di Sukma.
Dalam penamat yang penuh dramatik, Zen Hong bangkit daripada ketinggalan untuk memintas rakan sepasukannya, Danial Hakim Abdul Razak, menerusi dua tembakan terakhir yang cukup penting untuk mengumpul 236.8 mata bagi mengatasi rekod 231.5 mata yang dicatatkannya pada edisi Kuala Lumpur.
Danial Hakim terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 234.6 mata, manakala atlet Sarawak, Danial Lai, meraih pingat gangsa dengan 213.3 mata.
Dominasi Pahang berterusan dalam acara berpasukan apabila gandingan Zen Hong dan Danial Hakim bersama Zainal Azim Ahmad Mahmud cukup menjadi dan berhasil mengumpul 1,687 mata untuk menyumbang pingat emas.
Seperti dijangka, Sarawak yang muncul pencabar terdekat menduduki tempat kedua dengan 1,676 mata, manakala tuan rumah, Selangor meraih pingat gangsa dengan 1,647 mata.