Skuad ragbi Terengganu tampil lebih realistik dengan meletakkan sasaran pingat gangsa pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, mengambil kira perubahan besar dalam barisan pemain kali ini.
Pengurus pasukan, Mohd Amirulmukminin Sulaiman, berkata sebahagian besar skuad dibarisi muka baharu, namun persiapan pasukan kini berada pada tahap terbaik dan pemain bersedia untuk memulakan saingan pada 19 Ogos ini.
“Momentum pasukan ketika ini berada pada tahap terbaik dan semua pemain sudah bersedia. Kita sedar cabaran kali ini berbeza kerana sebahagian besar pemain adalah muka baharu, tetapi kita tetap mahu memberikan saingan.
“Gangsa adalah sasaran yang lebih realistik berdasarkan kekuatan semasa pasukan, namun jika mampu melangkaui sasaran itu, sudah tentu ia sesuatu yang lebih baik,” katanya selepas majlis ringkas meraikan 26 pemain dan pegawai skuad ragbi Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.
Pada Sukma Sarawak lalu, skuad lelaki Terengganu mara ke final sebelum meraih pingat perak, manakala pasukan wanita membawa pulang gangsa.
Menurut Amirulmukminin, pencapaian itu menjadi motivasi kepada barisan baharu, bukannya tekanan untuk diulangi.
Pada edisi kali ini, skuad lelaki Terengganu diundi dalam Kumpulan D bersama Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, manakala pasukan wanita berada dalam Kumpulan E bersama Sabah, Kedah dan Johor.
Sukma Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, dengan saingan ragbi bermula 19 Ogos.