Dua prospek pingat sukan terjun kontinjen Wilayah Persekutuan (WP), Yong Rui Jie dan Nurqayyum Nazmi, memasang impian cuba mendominasi dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2026, bermula 15 Ogos depan.
Sepanjang tempoh dua tahun selepas tamatnya edisi lalu, pelbagai kejohanan disertai di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam usaha meningkatkan prestasi.
Aspek terbesar yang makin berkembang termasuklah peningkatan tahap kesukaran dalam rutin terjunan serta lebih bijak mengawal tekanan pada waktu genting.
"Saya perlu fokus kepada mutu ketekalan dan darjah kesukaran.
"Saya cuba menang dua emas daripada empat acara yang disertai.
"Saya mahu mengatasi pencapaian peribadi 1m dan 3m papan anjal individu selain 3m papan anjal seirama.
"Saya perlu elak daripada hilang tumpuan demi mencapai sasaran ini," kata Nurqayuum.
Bertanding dengan status selaku atlet Program Podium nyata memberi tekanan, namun mereka berharap mampu lakukan terjunan konsisten dalam temasya dwitahunan itu kali ini.
Sukma Sarawak 2024 menyaksikan Nurqayyum unggul dengan dua emas dua gangsa manakala Rui Jie menggondol satu emas dan satu perak.
"Banyak aspek yang perlu dilakukan untuk capai konsisten, sebagaimana prestasi ketika latihan dan pertandingan tak sama.
"Kami kena tajamkan lagi teknik dan banyak yang perlu diberi perhatian bagi mencapai tahap konsisten.
"Sukma adalah batu loncatan untuk saya menghadapi Sukan Asia," kata Rui Jie.