Pelari pecut negara, Afrina Batrisya Mohd Rizal, menjadikan Sukan Universiti Pendidikan Tinggi (SUKIPT) sebagai medan terbaik untuk bangkit daripada kecederaan panjang.
Selepas lima bulan berehat, Arena Universiti Malaya menjadi saksi keinginan Afrina untuk kembali ke landasan asal walaupun dia mengakui 'rasa sakit itu masih ada'.
Afrina belum pulih sepenunya, namun berjaya mencuri kedudukan kedua dalam acara 200 meter final untuk Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas terpaksa akur menelan hampa dalam acara 100 meter pada semalam.
Selepas dua kali melakukan proses Platelet Rich Plasma (PRP), Afrina masih mencari rentak untuk mendapatkan prestasi terbaiknya.
"Untuk berapa lama saya perlukan, saya tidak pasti. Ada atlet perlukan masa singkat, untuk saya, saya tidak pasti kerana saya sudah lakukan PRP kemudian putus semula dan PRP sekali lagi, saya tidak tahu makan masa berapa lama," katanya.
Afrina tetap menyimpan hasrat untuk terus berbakti buat kuartet 100 meter dan 4x100 meter wanita negara.
Tambahan pula, Malaysia merupakan pasukan tuan rumah untuk penganjuran Sukan SEA tahun depan.
"Sukan SEA, InsyaAllah. Lihat dulu AUG hujung tahun ini bagaimana larian dan catatan masa saya. Masuk musim baru saya akan mulakan semua perkara semula." tambahnya.