Ia bukan satu tugasan mudah memandangkan sebarang kesilapan boleh menenggelamkan legasi Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bermula dari era Jonathan Nyepa.
Laungan 'i'm back' daripada atlet kebangsaan, Mohd Alif Iman Mohd Fahimi, membawa kepada permulaan yang manis selepas berehat panjang selama enam bulan.
Kuartet 4x100 meter UPM itu mencipta rekod Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) yang baharu dengan catatan 39.98 saat dan mengenepikan cabaran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dibarisi Danish Iftikhar Muhammad Roslee.
"Akibat kecederaan dalam Sukan SEA tahun lalu, saya terpaksa berehat selama enam bulan dan inilah aksi kompetitif pertama yang saya sertai.
"Saya sangat berpuas hati dengan kejayaan ini kerana dua tahun kami berusaha pecahkan catatan di bawah 40 saat," katanya di UM Arena, Universiti Malaya sebentar tadi.
Alif jarang mengenakan sebarang aksesori ketika berlari namun hari ini, ada 'tangkal penguat' yang memperlihatkannya berbeza dari hari-hari yang lain.
"Saya sebenar memang tidak suka pakai sebarang aksesori tapi atas dorongan berterusan daripada ibu bapa, jadi kejayaan ini dihadiahkan buat mereka," katanya lagi.
Dalam pada itu, acara 4x100m wanita jadi milik UPSI apabila menamatkan cabaran dengan rekod temasya yang baru iaitu 46.60s.