Walaupun tidak berada dalam kondisi terbaik, jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Anak Rigan, tetap mencuri tumpuan apabila memecahkan rekod kejohanan SUKIPT 2026.
Beraksi dalam acara lontar peluru, balingan atlet kebangsaan itu sejauh 18.22 meter berjaya memperbaharui rekod kejohanan terdahulu, iaitu 16.33 meter.
Bagaimanapun, catatan itu masih belum mampu mengatasi rekod kebangsaan miliknya sendiri, iaitu 19.12 meter.
Menurut Jonah, penyertaannya di SUKIPT kali ini bukan sebahagian daripada persiapan untuk beraksi di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Dengan keadaan fizikal sedikit terjejas akibat kecederaan, atlet itu kini mahu memberikan fokus kepada sasaran seterusnya, iaitu Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Kuala Lumpur Disember ini.
“Memandangkan kondisi saya yang masih belum pulih daripada kecederaan, saya tidak letak harapan tinggi. Tahun ini saya banyak buat lontaran dalam jarak 18m, jadi ia satu perkara yang baik.
“Saya mahu buat (pecah rekod kebangsaan) di Sukan Asia dan AUG kerana di sana nanti ada pencabar yang lebih baik. Cabaran lebih sukar dan suasananya juga berbeza berbanding Sukipt,” katanya.
Sementara itu, kuartet Universiti Putra Malaysia (UPM) tampil bergaya apabila meraih pingat emas acara 4x400 meter wanita sambil memecahkan rekod kejohanan SUKIPT 2026.
Empat pelari UPM, termasuk Nur Afrina Batrisyia Mohamad Riza, mempamerkan aksi bertenaga untuk menamatkan perlumbaan sebagai juara.
UPM merekodkan masa 3 minit 59.36 saat, sekali gus memperbaharui rekod kejohanan terdahulu iaitu 4 minit 2.10 saat.
Namun, kemenangan itu hadir selepas kuartet UPM menerima tekanan hebat daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada pusingan terakhir.
Perbezaan hanya 0.31 saat menyaksikan perlumbaan berlangsung sengit sehingga pelari terakhir UPM berjaya mengekalkan fokus untuk menghadiahkan emas dan rekod baharu kejohanan.