Hasrat atlet taekwondo kyorugi negara, Muhammad Syafiq Zuber, mencipta hatrik pingat emas dalam Sukan SEA tidak berlaku di Thailand apabila gagal mengekalkan penguasaan dalam aksi final setelah tunduk 2-1 kepada wakil tuan rumah, hari ini.
Tempoh kurang setahun bagi percubaan kategori baru bawah 87 kilogram nampaknya masih memerlukan lebih masa, selain dia sendiri mengakui kesilapannya hingga memberi kelebihan kepada Thailand.
Advertisement
"Kesilapan saya (ialah memberi ruang) kepada pihak lawan untuk menyerang balas, baca pergerakan saya.
"Ia memudahkan pihak lawan memungut mata," katanya.
Pemegang emas kategori bawah 80 kilogram di Hanoi dan Kemboja itu tidak menolak bahawa percubaan pertama dalam kategori baru ini tidak memihak kepadanya.
Justeru, demi persediaan Sukan SEA Malaysia 2027, Syafiq memerlukan perbincangan serius dengan barisan kejurulatihan, sama ada kekal dalam kategori barunya ini atau kembali ke kategori asalnya.
"Kategori ini agak berat.
"Saya perlu naikkan tahap fizikal dan otot," katanya.