Skuad gimrama negara terpaksa menerima hakikat sekadar meraih dua pingat perak dalam acara lima reben dan acara tiga bola dua gelung dalam Sukan SEA Thailand hari ini.
Ia sesuatu yang pelik buat mereka memandangkan persembahan yang dipamerkan jauh lebih ampuh berbanding dalam pusingan kelayakan tetapi mata yang diberikan lebih rendah.
Advertisement
Bagi ketua pasukan, Carol Na, mereka terpaksa menerima keputusan itu dan berharap dapat membalas dendam di Kuala Lumpur dua tahun depan.
"Kami percaya kami telah melakukan yang terbaik tetapi mata yang diberikan tidak seperti yang kami harapkan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
"Tetapi tidak mengapa, kami sekurang-kurangnya sudah menunjukkan aksi terbaik dan tentang pemarkahan, kami serahkan kepada juri dan penonton untuk menilai sama ada ia adil atau tidak.
"Rasa seperti semua usaha kami sia-sia apabila latihan keras yang kami lakukan untuk mempamerkan rutin terbaik berakhir dengan pingat perak.
"Mungkin kerana mereka negara tuan rumah tetapi 2027 nanti kita akan menjadi tuan rumah, jadi kami akan mendapatkan kembali emas ini."
Sebagai rekod, tuan rumah, Thailand memenangi pingat emas kedua-dua acara berkenaan.