MALAYSIA 4 LAOS 1
Skuab bola sepak B-23 lelaki negara melepasi ujian pertama dalam Sukan SEA Thailand apabila mengetepikan Laos 4-1, sebentar tadi.
Advertisement
Begitupun, skuad negara terpaksa bekerja keras ketika membuka kempen Kumpulan B itu apabila dikejutkan dengan ledakan Bounpheng Xaisombut seawal minit ke-4 sebelum Haykal Danish Haizon meredakan gelora kem Malaysia menuju bilik persalinan dengan kuisannya untuk kedudukan 1-1 pada minit ke-33.
Penyerang muda negara, Hakimi Azim, akhirnya meletakkan skuad kendalian Nafuzi Zain itu dalam pendahuluan dengan menyudahkan situasi kelam kabut di depan gawang.
Dan tandukan kencang Moses Raj meletakkan Malaysia bertambah selesa 3-1 sebelum ketua pasukan Laos, Phetdavanh Somsanid, diarahkan keluar padang kerana kad kuning kedua ketika mematahkan larian Rahman Daud, menuju empat minit masa kecederaan.
Kesempatan itu digunakan oleh Malaysia untuk menutup permainan dengan keputusan 4-1 hasil lambungan penyudah Muhammad Abu Khalil.