"Haqimi Azim (Rosli) masuk, Rahman (Daud) keluar tapi mungkin Fergus (Tierney) sampai."
Itu gambaran situasi buat kem B-23 negara selepas mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Sukan SEA Thailand, sekali gus mencapai sasaran ke Sukan SEA.
Advertisement
Tatkala penyerang Haqimi Azim sah memperkuatkan skuad negara bertemu Thailand di Stadium Rajamangala petang esok, mereka terpaksa melupakan khidmat Rahman.
Namun, pada masa sama pengendalinya, Nafuzi Zain, tidak menolak kemungkinan Fergus akan terbang ke Bangkok setelah aksi final Piala FA pada Ahad.
Terdahulu, Haqimi Azim terlepas perlawanan menentang Vietnam dalam aksi kumpulan kerana terpaksa pulang ke tanah air berikutan bapa tirinya meninggal dunia.
"Sabah akan beraksi dalam perlawanan akhir (Piala FA) menentang JDT sehari sebelumnya.
"Jadi dia mungkin datang untuk memberikan sokongan, kalau untuk bermain mungkin tidaklah.
"Rahman digantung selepas mengutip kad kuning kedua.
"Tapi kami ada Haqimi yang kembali hari ini," katanya.
Skuad muda negara mara ke separuh akhir selepas muncul naib juara terbaik dengan kelebihan jaringan berbanding pencabar terdekat Indonesia.
"Alhamdulillah kami layak walaupun dalam keadaan mendebarkan.
"Sasaran layak ke separuh akhir telah tercapai dan sasaran seterusnya ialah mendapatkan emas.
"Cabarannya tidak begitu mudah, kami perlu buat persiapan rapi untuk bertemu tuan rumah," katanya lagi.