'Satu perak satu gangsa'
Itu sasaran peribadi kem hoki ais negara melibatkan pasukan lelaki dan wanita menjelang temasya Sukan SEA Thailand 2025 yang akan memulakan perlawanan minggu depan.
Advertisement
Ketua pasukan wanita negara, Kimberly Wan Mei Wah, optimis dengan sasaran tempat kedua itu meskipun kem negara bakal melakukan penampilan sulung dalam temasya dwitahunan itu.
"Sasaran pingat kami adalah perak, persediaan sangat bagus dan kami konsisten dalam sesi Latihan.
"Saya dan pasukan teruja untuk beraksi di Sukan SEA. Ini kali pertama kami beraksi di Sukan SEA dan pada tahap ini. Ia peluang yang baik dan saya mahu menjadi sebahagian daripada sejarah ini," katanya.
Sementara itu, kapten lelaki, Brandon Tan Wai Kin, menyeru agar rakan sepasukannya berwaspada dengan ancaman daripada empat negara Asia Tenggara.
"Sasaran saya adalah pingat gangsa, tetapi semestinya mahu pingat emas. Thailand lawan yang kuat, kami sasar menang berdepan Singapura, Indonesia dan Filipina." tambahnya.
Mereka ditemui dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang dan pakaian rasmi kontinjen Malaysia di Shah Alam hari ini.