Raja pecut Asia Tenggara, Puripol Boonson, kecewa apabila seteru utamanya dari Malaysia, Azeem Fahmi, tidak menyertai Sukan SEA di Thailand edisi ini.
Puripol mencipta sensasi apabila mendominasi acara 100m dan 200m di lamannya itu, di mana dia memenangi acara 100m dengan catatan 10 saat sebelum memecahkan rekod 200m Sukan SEA dengan catatan 20.07s.
Advertisement
Menariknya, Puripol turut memecahkan rekod temasya itu dalam acara 100m, di mana dia mencatatkan 9.94s dalam saringan.
Di sebalik sejarah yang dilakarnya, Puripol mengakui kecewa apabila Malaysia tidak menurunkan pelari terbaik, Azeem, yang kini sedang berada di Amerika Syarikat, sebaliknya mempertaruhkan pelari muda sensasi berusia 18 tahun, Danish Iftikhar Muhammad Roslee.
"Saya rasa agak sedih dan gementar untuk Sukan SEA tahun ini. Terdapat begitu banyak pasukan yang kuat tetapi saya benar-benar berharap kami semua dapat berlari bersama," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Kami telah lama berkawan, dan dapat berlari bersama pasti sangat menyeronokkan."