Jurulatih perseorangan wanita negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, memberi tabik hormat kepada pemainnya atas semangat dan jiwa besar yang ditunjukkan demi negara.
Ia menyaksikan K. Letshanaa dan Wong Ling Ching mengetepikan kesakitan ketika beraksi sekali pun akhirnya mereka tewas 2-3 kepada Indonesia dalam separuh akhir Sukan SEA Thailand.
Advertisement
Tatkala Letshanaa mengalami kecederaan kaki, Ling Ching pula demam sebelum terbang ke Bangkok untuk mengharungi acara berpasukan wanita temasya itu.
Kekalahan menyebabkan Malaysia kempunan mengulangi pencapaian mara ke final edisi 2017, namun memperbaiki pencapaian dua edisi sebelum ini.
"Saya rasa kecederaan Ling Ching tidak serius dan kami terpaksa ubah latihannya.
"Semua pemain ingin lakar sejarah, tapi selepas memberikan semangat dan karakter yang diperlukan, saya rasa tidak perlu risau (teruskan cabaran)," kata Iskandar Zulkarnain.
Lebih menarik, Ling Ching melakar kejutan ke atas lawan ranking ke-10 dunia, Gregoria Mariska, dalam aksi tiga set.
Lantas, bekas jurulatih perseorangan Ireland itu berharap Ling Ching dan Letshanaa mampu menjelmakan prestasi lebih baik dalam acara individu, Khamis ini.
"Saya harap Letshanaa dan Ling Ching dapat menyumbangkan mata.
"Saya harap Letshanaa lebih garang seperti sebelumnya walaupun tahapnya pada hari ini agak menurun.
"Walaupun mencipta kejutan, perjalanan Ling Ching masih jauh, kita perlu tengok secara berperingkat," katanya lagi.
