Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, berpuas hati dengan persiapan semasa pasukannya menjelang temasya Sukan SEA Thailand 2025 yang bakal buka tirai bermula 9 Disember depan.
Lebih melegakan pengendali kelahiran Ulu Tiram, Johor itu ialah semua pemainnya bebas daripada isu kecederaan.
Advertisement
Ahmad Jais turut menjelaskan kem latihan pusat selama seminggu yang dijalani pasukannya di Ratchaburi, Thailand baru-baru ini memberikan ruang dan peluang buat barisan kejurulatihan skuad negara dalam mengenalpasti segala kelemahan yang ada sebelum berlepas ke Nakhom Pathom pada 7 Disember ini.
Dia dalam pada itu turut percaya 17 pemain skuad lelaki yang bakal menggalas cabaran Malaysia di temasya dwitahunan itu adalah yang terbaik demi merealisasikan misi membawa pulang dua pingat emas dalam acara regu dan juga kuadran.
"Jika dilihat daripada perlawanan ujian tempoh hari di Ratchaburi, persiapan pasukan berada di landasan terbaik termasuk pemain dalam kecergasan terbaik.
"Pemain pamerkan motivasi tinggi menjelang Sukan SEA nanti.
"Ini adalah antara skuad terbaik untuk acara berpasukan, daripada segi kekuatan agak seimbang. Kita boleh beri harapan kepada setiap regu yang akan diturunkan nanti." katanya.