Atlet wushu negara, Sydney Chin, yang mengesahkan aksinya di Sukan SEA Thailand 2025 sebagai yang terakhir buat kariernya.
Dia juga berjaya membawa pulang satu pingat emas dan satu gangsa untuk penutup gemilang kariernya.
Advertisement
Selepas 10 tahun berjuang dalam kem kebangsaan, ini merupakan masa terbaik untuk Sydney memilih bersara dari dunia wushu.
Perkongsian daripada Sydney itu datang sejurus dia menghadiahkan pingat gangsa dalam aksi gabungan acara Taijiquan dan Taijijian.
Bagi Sydney, fokus dia ketika ini adalah untuk mencuba perkara belum pernah dilakukannya dalam fasa kehidupan baharunya.
"Saya sangat gembira, saya menikmati saat beraksi di sini," katanya.
"Tetapi saya mahu mencuba perkara baru selepas ini dan mencari peluang untuk membentuk diri saya yang baru selepas bersara daripada wushu."
Sementara itu di kem lelaki pula, atlet berpengalaman, Clement Ting, yang meraih gangsa dalam acara gabungan Chang Quan dan Gunshu berkongsi mengenai perbezaan ketara situasi pertama kali beraksi di Sukan SEA iaitu di edisi 2021 dengan sekarang.
Bagi Clement, sudah tiba masanya untuk dia berehat selepas hadapi pelbagai kejohanan tahun ini sebelum menggegar 2026.
"Setiap perlawanan memberikan cabaran berbeza dan saya bersyukur dapat beraksi dengan baik. Sekarang saya mahu berehat selepas melalui detik-detik memenatkan sepanjang tahun ini," katanya.