Pemain sayap lincah B-23 tahun negara, Haqimi Azim, yakin perubahan drastik jadual dan venue bola sepak Sukan SEA di Thailand akibat banjir tidak menjejaskan apa-apa.
Bagi Haqimi, fokus tetap sama dengan tumpuan di setiap perlawanan demi perlawanan -- membuka kempen bertemu Laos pada 6 Disember itu di Stadium Rajamangala -- dengan sasaran dapat meloloskan diri ke separuh akhir terlebih dahulu.
Advertisement
Haqimi juga berharap dapat memahat kenangan manis buat dia dan rakan sepasukan yang bakal beraksi dalam temasya terakhir mereka itu.
"(Faktor) venue tiada apa-apa (bukan satu masalah) kerana di mana sahaja kami bermain, kami akan berikan sehabis baik.
"Kami pernah bermain di Bangkok, tiada apa-apa (tidak tergugat) dan kami akan berjuang habis-habisan ketika bertemu Laos," katanya ketika menjalani persiapan di bawah tunjuk ajar Nafuzi Zain, hari ini.
Ini ditambah dengan semangat untuk membuktikan sesuatu selepas prestasi mengecewakan dalam Piala AFF B-23 dan kelayakan Piala Asia B-23 tahun ini.
"Kami mahu buat (cipta) satu memori yang bagus.
"Kami nak fokus -- tahun ini yang terakhir (bersama skuad B-23) -- jadi kami mahu melakukan satu bersama skuad ini," katanya lagi.
