Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Wilayah Aichi, Hideaki Ohmura, dan Datuk Bandar Nagoya, Ichiro Hirosawa, di Nagoya Harbor Hall, Jepun, sempena Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Chan Hong Jin, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, dan Setiausaha Agung MPM, Laksamana Pertama (B) Datuk Subramaniam Raman Nair.
Pertemuan tersebut memberi peluang kepada Malaysia untuk mempelajari secara dekat cara Aichi-Nagoya menguruskan Sukan Asia dan Sukan Para Asia secara berturut-turut. Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 pada 18 hingga 29 September 2027 dan Sukan Para ASEAN ke-14 pada 17 hingga 23 Oktober 2027 di Kuala Lumpur.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah pengurusan sukarelawan, yang menjadi tulang belakang kelancaran kedua-dua temasya di Aichi-Nagoya. Pengalaman ini amat bernilai bagi Malaysia dalam merancang penglibatan sukarelawan untuk Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.
YB Taufiq turut tertarik dengan pendekatan Aichi-Nagoya yang melibatkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sendiri dalam persiapan Sukan Para Asia. Antaranya, golongan OKU diberi peluang mencuba sendiri fasiliti OKU terlebih dahulu sebelum fasiliti tersebut digunakan oleh atlet.
Sementara itu, kontinjen negara ke Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, yang berlangsung dari 18 hingga 24 Oktober, membabitkan 113 penyertaan, iaitu 68 atlet dan 45 pegawai. Mereka akan beraksi dalam 94 acara daripada 10 sukan. Atlet para olahraga acara lompat jauh T37, Muhammad Nazmi Nasri, diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada majlis perasmian temasya.