Dua jurulatih berpengalaman menjadi sandaran kontinjen orang pekak negara bagi menghadapi Sukan Pekak Asia Pasifik di Pulau Pinang pada Oktober depan.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Dr. Ong Shin Ruenn, mengesahkan dua jurulatih itu ialah Amir Izwan Tan Abdullah dan Holloway Cheah.
Advertisement
Kedua-duanya bukan nama asing dalam arena sukan negara. Amir Izwan hadir dengan reputasi sebagai bekas jurulatih pecut negara yang pernah membimbing pelari pecut sensasi negara, Azeem Fahmi, sekali gus ditagih untuk memacu skuad olahraga orang pekak untuk terus cemerlang.
Holloway pula merupakan bekas jurulatih boling negara, yang meraih kejayaan dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.
Untuk rekod, kontinjen orang pekak negara meraih empat pingat emas dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu
"Kami amat berbangga kerana mendapat jurulatih yang ternama dan berhasil dalam sukan normal," kata Dr. Ong kepada wartawan Astron Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Tetapi ia mungkin ada cabaran kerana atlet-atlet ini merupakan atlet sukan pekak.
"Tetapi kami mengharapkan pengalaman mereka untuk melatih atlet ini agar mendapat prestasi yang sama seperti atlet normal.
"Saya melihatnya sebagai satu yang positif dan dapat memberikan tambahan idea dan teknik baru untuk mereka bertanding setara dengan atlet normal."