Siapa sangka ketika sedang hangat menyaksikan saingan Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya, penyerang Vencedor Mie United Club, Hadi Fayyadh Razak, meluangkan masa bertindak sebagai pegawai perhubungan sekretariat luar kontinjen Malaysia.
Memandangkan sudah lima hingga enam tahun dia berkelana di Jepun, wartawan Astro Arena, Faizal Bazari, mendapatkan Hadi Fayyadh secara eksklusif di Jepun sempena Sukan Para Asia Nagoya-Aichi.
"Sebaik kempen liga baru habis, saya dihubungi 'bapa angkat' yang mempelawa saya mengenai pembabitan dalam Sukan Para Asia.
"Selalunya (peranan) saya adalah sebagai atlet dan kali ini saya berpeluang melalui pengalaman sebagai pegawai sukan.
"Terima kasih kepada MSN (Majlis Sukan Negara) mengalu-alukan kehadiran saya.
"Tugas saya adalah membantu pasukan Malaysia seperti pengangkutan dan komunikasi memandangkan saya agak biasa dengan Nagoya yang terletak 40 minit dari rumah," katanya.
Dalam masa sama, Hadi Fayyadh masih menunggu perkembangan saingan divisyen kedua Negara Matahari Terbit itu yang dirombak mengikut kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
"Liga baru habis dan saya masih menunggu keputusan penganjur yang bercadang untuk mengubah kalendar kempen musim depan.
"Dalam masa sama, perjalanan karier saya di sini -- latihan dan kemudahannya -- berjalan dengan baik," katanya lagi.