Timbalan Menteri Belia Dan Sukan (KBS), Mordi Bimol, tidak ketinggalan dalam memberikan sokongan kepada atlet negara yang bertanding di Sukan Para ASEAN 2025.
Kehadirannya dalam menyaksikan emas pertama kontinjen negara menerusi acara basikal para menjadi titik paling bermakna sejak dilantik memegang portfolio itu.
Advertisement
Mordi meluahkan rasa terujanya dan bangga apabila berkesempatan hadir menyaksikan kejayaan Yusof Hafizi yang berjaya merangkul emas pertama dalam kategori para basikal ujian masa individu lelaki C1-C2.
Dia menjelaskan kejayaan awal itu bukan sahaja menyuntik semangat juang atlet malah menjadi pembakar motivasi kepada seluruh pasukan negara untuk terus cemerlang sepanjang temasya.
Dia turut mengucapkan sekalung tahniah kepada barisan jurulatih serta menegaskan komitmen Kementerian Belia Dan Sukan dalam menyokong pembangunan sukan para di peringkat nasional dan antarabangsa.
Mordi juga berharap lebih kejayaan dan pingat emas dapat diraih demi mengharumkan nama Malaysia di persada serantau.
"Tahniah kepada penyumbang emas pertama hari ini menerusi berbasikal lebuhraya, hari ini kita mendapat emas pertama, jadi tahniah sekali lagi.
"Saya ucapkan kepada atlet negara agar lebih bersemangat lagi untuk beberapa hari lagi untuk memperjuangkan pingat untuk negara kita." katanya.