Menjelang temasya Sukan Para ASEAN Thailand 2025, Chef De Mission (CDM) negara, Mohd Zarrawi Ravi Abdullah, menegaskan pertambahan pingat mampu dicapai menerusi sukan olahraga, renang, basikal dan tenpin boling.
Ianya dinilai bersandarkan persiapan semasa dan menerusi perbincangan bersama jurulatih dan pengurus pasukan.
Advertisement
"InsyaAllah, di atas kertas memang sukan olahraga, renang dan berbasikal akan terus sumbang kutipan pingat, kami juga harap sukan tenpin boling sumbang pingat sebagai bonus," katanya yang ditemui dalam sesi penutup kem akhir temasya Sukan Para ASEAN Thailand 2026 yang diadakan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan.
Sementara itu, ketua pengarah Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin, pula berharap skuad negara sedia mempamerkan semangat juang yang tinggi dan membuktikan kejaguhan negara di Thailand nanti.
"Esok mereka akan berlepas ke Korat pada jam 9 pagi, kami harap atlet akan terus pamer semangat juang tinggi agar dapat membawa pulang kejayaan besar," tambahnya.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D. Shahriman, memberikan peringatan kepada atlet agar tidak terlalu selesa kerana negara lain turut meningkat naik dari segi prestasi dan keputusan.
"Kami tidak mahu mereka terlalu selesa tetapi mahu mereka capai pencapaian tinggi, bukan hanya pecah rekod peribadi sahaja tetapi menang pingat.
"Kami tahu negara jiran juga berkembang jadi kami perlu kerja lebih kuat, kami positif di landasan terbaik." ujarnya.