Gelaran juara Kejohanan Orienteering Pekak 2026 bukan sekadar kejayaan dalam sukan buat Mohd Saifudin Mad Mawi, sebaliknya menjadi bukti bahawa segala kesukaran hidup tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mengejar impian.
Menjalani kehidupan sebagai seorang duda bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila perlu mengimbangi tanggungjawab harian dengan kerjaya sebagai kakitangan housekeeping di sebuah hotel.
Namun, di sebalik cabaran yang dilalui, Saifudin membuktikan keazaman mampu mengatasi segala kekangan apabila berjaya menjuarai kategori Sprint Distance Terbuka Lelaki.
Beliau mencatat masa 24 minit 24.7 saat bagi menamatkan laluan sejauh tiga kilometer, sekali gus mengatasi pencabar lain dalam acara yang menuntut ketepatan membaca peta, kecekapan membuat keputusan dan ketahanan fizikal.
Kejayaan itu menjadi detik cukup bermakna buat Saifudin yang membuktikan kehidupan penuh ranjau tidak pernah menutup peluang untuk mencipta kejayaan.
Sementara itu, kategori wanita pula menyaksikan Nor Shafiza Marojek muncul juara menerusi catatan masa 31 minit 29.3 saat.
Namun, di sebalik kejayaan atlet kelahiran Sarawak itu, tersimpan kisah pengorbanan yang cukup menyentuh hati.
Demi memastikan tahap kecergasan berada pada tahap terbaik, Nor Shafiza terpaksa menjalani latihan di sekitar ibu kota, jauh daripada keluarga yang berada di Sarawak.
Jarak dan tanggungjawab sebagai seorang isteri tidak pernah menjadi alasan untuknya mengalah, apatah lagi apabila mendapat sokongan penuh daripada suami yang sentiasa memahami tuntutan kerjayanya sebagai atlet.
Bagi Nor Shafiza, pengorbanan suami yang sentiasa memberikan sokongan dan doa menjadi kekuatan utama untuk terus berjuang meskipun terpaksa berjauhan daripada keluarga.
“Saya sayang suami saya.” Ungkapan ringkas itu membawa makna besar, sebagai tanda penghargaan terhadap insan yang sentiasa berada di belakangnya sepanjang perjalanan mengejar kejayaan.
Dua kisah berbeza, namun membawa mesej yang sama — kejayaan tidak hadir tanpa pengorbanan.
Bagi Saifudin, kemenangan itu menjadi bukti ketabahan menghadapi liku kehidupan. Buat Nor Shafiza pula, kejayaan di pentas sukan menjadi hasil sokongan dan pengorbanan insan tersayang.
Kedua-duanya membuktikan bahawa di sebalik setiap pingat dan gelaran juara, tersimpan perjalanan hidup yang wajar dihargai.