Beregu wanita badminton pekak negara, Boon Wei Ying dan Foo Zu Tung, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak pada Kejohanan Asia Pasifik selepas gagal menyekat dominasi pasangan Jepun, Mai Kamata dan Mai Yakabe, dalam aksi final hari ini.
Boon Wei Ying dan Foo Zu Tung tewas dalam dua set 15-21, 7-21, sekali gus menyaksikan impian untuk menamatkan kempen dengan pingat emas tidak kesampaian.
Mengakui kekalahan pada set pertama menjejaskan rentak permainan mereka, pasangan negara itu bagaimanapun tetap berbangga kerana berjaya menghadiahkan satu-satunya pingat badminton buat Malaysia pada edisi kali ini.
Bagi mereka, pencapaian tersebut tetap membawa makna besar, apatah lagi selepas berjaya memperbaiki prestasi berbanding Deaflympics tahun lalu apabila mereka tersingkir di peringkat suku akhir.
“Dari permulaan, kami bermain baik, namun di pertengahan permainan kami sedikit hilang fokus dan cuba memastikan kembali dalam permainan.
“Walaupun tidak berjaya meraih pingat emas, kami akan cuba untuk meningkatkan lagi usaha kami untuk kejohanan akan datang,” jelas Boon Wei Ying.
Foo Zu Tung turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan sepanjang perjalanan mereka dalam kejohanan itu.
“Kami mahu mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak dalam perjalanan kami meraih kejayaan hari ini.
“Kami berharap kami akan terus berlatih supaya dapat meningkatkan lagi kualiti permainan untuk kejohanan akan datang,” katanya.
Walaupun gagal membawa pulang emas, pingat perak itu menjadi bukti perkembangan positif beregu negara berkenaan, selain menyuntik motivasi untuk kembali lebih kuat dalam kejohanan akan datang.