Hari ke-10 temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG) Dakar 2026 memaparkan aksi luar biasa atlet lompat bergalah lelaki, Gerfan Nigel Frank dengan mempamerkan aksi cemerlang untuk menamatkan saingan akhir di kedudukan keempat di Stadium Iba Mar Diop, hari ini.
Gerfan membuktikan kemampuan bersaing dalam kelompok elit apabila berjaya melakukan lompatan setinggi 4.70 meter, sekali gus memperbaharui rekod peribadi terbaiknya (PB). Kejayaan melepasi ketinggian tersebut membolehkan beliau menduduki tempat keempat keseluruhan daripada lapan finalis yang beraksi di pentas akhir. Walaupun terlepas peluang melangkah ke podium, peningkatan prestasi ketara dan rekod baharu peribadi yang dilakarnya membuktikan potensi besar bakat muda ini untuk melangkah lebih jauh di peringkat antarabangsa.
Sementara itu di perairan Dakar, pelayar windsurfing wanita negara, Angie Ang Tan Yie, meneruskan saingan hari ketiga membabitkan perlumbaan ketujuh hingga kesembilan (Race 7–9). Berdepan tiupan angin dan cabaran arus laut yang kompetitif, Angie menamatkan Race 7 di tempat ke-11 sebelum menduduki tempat ke-16 pada kedua-dua perlumbaan Race 8 dan Race 9.
Keputusan itu meletakkan Angie di tangga ke-13 keseluruhan daripada 23 pelayar dengan kutipan 76 mata bersih (net points) serta 108 mata terkumpul. Kedudukan tiga teratas kini kekal sengit dengan Itali mendahului menerusi 13 mata bersih, diikuti China dan Sepanyol yang masing-masing berkongsi 16 mata bersih. Peluang untuk membaiki kutipan mata masih terbuka luas buat Angie dengan baki enam perlumbaan lagi yang dijadualkan berlangsung sebelum tirai acara dilabuhkan.