Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, tampak diberi ‘nyawa’ baharu apabila perancangan khusus ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 mendapat lampu hijau Majlis Sukan Negara (MSN).
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, mengesahkan pihaknya sudah menerima surat rasmi daripada MSN berhubung kelulusan berkenaan.
Hala tuju Azizulhasni ke temasya LA2028 sebelum ini menjadi persoalan susulan ketidakpastian mengenai perancangan dan sokongan yang diperlukannya untuk meneruskan misi ke pentas Olimpik.
Malah, pelumba berusia 38 tahun itu turut memaklumkan perincian mengenai perancangan itu hanya dapat diketahui selepas tamat Kejohanan Dunia di Shanghai, China.
"Saya tidak akan bincangkan jumlahnya tapi perancangan telah dibuat, kelulusan telah diberikan dan ini spesifik untuk Azizulhasni.
"Atlet lain sudah ada dalam program masing-masing dan ia berjalan seperti biasa dengan kerjasama PKBM, MSN dan ISN (Institut Sukan Negara).
"Azizulhasni adalah kes istimewa dan ia sudah diselesaikan, kami sudah terima surat rasmi daripada MSN dan kelulusannya," katanya.
Azizulhasni membuktikan kemampuan untuk terus bersaing di pentas teragung itu selepas meraih emas keirin dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan Komanwel Glasgow baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, PKBM mahu mengkaji semula keperluan jawatan pengarah teknikal susulan penghijrahan John Beasley ke pasukan Jepun.
"Kalau diperlukan, kami akan cari orang yang sesuai dan kalau tidak, tidak semestinya jawatan itu dikekalkan.
"Kita boleh kekalkan jurulatih-jurulatih sedia ada seperti Harnizam Basri yang memberi fokus kepada atlet elit.
"Program akan diteruskan dan dalam masa sama, tidak akan halang kami untuk cuba mencari jurulatih dari luar negara untuk mengisi kekosongan ini.
"Kami tidak lupa sumbangan besar John Beasley dan kami ucapkan selamat maju jaya," katanya lagi.