Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi penyiar rasmi temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang berlangsung di Scotland bermula hari ini hingga 2 Ogos depan.
Pelantikan itu menyaksikan RTM meneruskan momentum kejayaan liputan Piala Dunia 2026 dengan membawakan siaran langsung aksi atlet negara di pentas antarabangsa menerusi saluran sukannya.
Selain saluran Sukan+ di Astro 806 yang menjadi platform utama liputan Sukan Komanwel Glasgow 2026, pelanggan Astro juga boleh mengakses saluran-saluran RTM lain termasuk TV1 (saluran 101), TV2 (102), Berita RTM (505) dan TV Okey (146).
Kerjasama strategik yang diperkukuhkan antara RTM dan Astro turut menyaksikan rangkaian saluran radio RTM kembali ditawarkan kepada pelanggan Astro, sekali gus memperluaskan akses rakyat kepada kandungan berita, sukan dan perkhidmatan penyiaran awam negara
Menurut RTM, hampir 100 jam siaran akan disediakan sepanjang temasya berlangsung, termasuk siaran langsung upacara pembukaan dan penutupan, laporan harian serta sorotan khas untuk peminat sukan tanah air.
Liputan harian dijadualkan berlangsung dalam dua sesi utama, iaitu sesi petang dari pukul 6 petang hingga 9 malam bermula 24 Julai hingga 2 Ogos, serta sesi awal pagi dari pukul 1 pagi hingga 4 pagi bermula 25 Julai hingga 2 Ogos.
RTM turut menyediakan slot sorotan harian selama sejam bermula 25 Julai hingga 3 Ogos.
Antara sukan yang disertai negara ialah angkat berat dan powerlifting, renang dan para renang, berbasikal trek dan para berbasikal trek, bola keranjang 3x3 dan bola keranjang kerusi roda 3x3, gimnastik artistik, judo, boling padang dan para boling padang serta olahraga dan para olahraga.
Malaysia meletakkan sasaran untuk membawa pulang lima pingat emas, dua pingat perak dan empat pingat gangsa berdasarkan potensi atlet serta prestasi semasa yang ditunjukkan menjelang temasya itu.
Dalam perkembangan berkaitan, pelanggan Astro dan NJOI kini juga boleh mengikuti saluran Berita RTM dan Sukan+ menerusi platform berkenaan, selain siaran radio RTM yang dijangka kembali menemui pendengar melalui Astro.
Kredit: Astro AWANI