Menjelang temasya Sukan Komanwel 2026 yang akan membuka tirainya secara rasmi beberapa hari lagi, beberapa pasukan yang akan menggalas cabaran negara tiba di Glasgow, Scotland lebih awal termasuklah skuad boling padang, powerlifting, renang dan bola keranjang.
Aspek penyesuaian keadaan termasuk fizikal dan mental kini diberikan tumpuan agar prestasi semasa kesemua atlet berada di tahap optimum.
Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin, aspek logistik atlet juga di tahap memuaskan walaupun mungkin berdepan dengan sedikit cabaran
"Semuanya berjalan lancar, pengankutan ada sedikit jarak memandangkan ada sekatan daripada segi perjalanan, atlet perlu berjalan 500m daripada tempat penginapan untuk pengankutan mereka tetapi ia perkara biasa dalam temasya dimana pengankutan rasmi disediakan penganjur," katanya.
Skuad boling padang negara tiba seminggu lebih awal untuk mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan.
Bagi pemain beregu wanita, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Aleena Ahmad Nawawi, ia merupakan masa terbaik menguji kemampuan serta membentuk strategi lebih ampuh berdasarkan format baru yang diperkenalkan.
"Ada perlawanan persahabatan dengan beberapa negara, antaranya Ireland, Singapura dan Malta, kila boleh lihat strategi mereka bagaimana untuk menambah baik aksi kami." kongsi Syafiqa.