Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri, mahu mengubah kilauan pingat gangsa dalam acara keirin lelaki Sukan Komanwel Glasgow yang bermula 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
Sandaran pasukan kebangsaan bakal terarah kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara keirin lelaki, manakala Nurul Izzah Izzati Asri pula dalam acara 1 kilometer ujian masa.
Bagaimanapun, dia lebih fokus kepada sasaran menyeluruh pasukan untuk membutirkan satu kilauan pingat tanpa mengira warna.
"Sasaran kami adalah layak ke kelompok enam terbaik untuk ke peringkat akhir.
"Pencabar lain juga menunjukkan peningkatan selain kehadiran Datuk Azizulhasni Awang sendiri.
"Nurul Izzah mempunyai catatan baik dalam 1km ujian," kata Harnizam.
The Pocketrocket Woman, Nurul Izzah Izzati, pula berazam memecah rekod peribadi terbaik dalam acara 1km ujian masa Sukan Komanwel kali ini.
"Saya mahu tingkatkan beberapa aspek prestasi dan saya berharap dalam keadaan yang baik untuk menghadapi temasya ini," katanya pula.
Pelumba yang bergelar The Terminator, Shah Firdaus, akui sudah pulih daripada kecederaan yang dialami sebelum ini, namun enggan terlalu memikirkan kelompok podium.
Sebaliknya, dia mahu memastikan dia melepasi setiap halangan awal terlebih dahulu.
"Setakat ini pemulihan saya berjalan lancar. Kesakitan pembedahan makin berkurang dan saya sudah boleh berlatih dengan secara normal.
"Tapi masih berhati-hati (dengan corak latihan).
"Saya tidak mahu ke Sukan Komanwel dalam kesakitan, ia adalah perkara penting," katanya.
Kem berbasikal trek negara ditemui ketika lawatan rasmi chef-de-mission (CDM) ke Sukan Komanwel Glasgow, Datuk Awalan Abdul Aziz, yang berkunjung ke Velodrom Nasional Nilai, hari ini.
"Saya bersyukur atlet dalam keadaan bersemangat dan sihat," katanya.