Sensasi perenang berusia 13 tahun, Yu Zidi, bakal mencuri perhatian apabila disenaraikan dalam kontinjen besar China yang terdiri daripada 815 atlet ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 Jepun dua minggu lagi.
Menurut media China, kontinjen itu terdiri daripada 404 atlet wanita dan 411 atlet lelaki yang akan bertanding dalam 38 jenis sukan.
China hadir dengan sasaran tinggi selepas mendominasi temasya Sukan Asia 2023 di laman sendiri dengan kutipan rekod 201 pingat emas.
Saingan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadualkan bermula pada 19 September.
Yu menjadi antara nama paling menarik dalam kontinjen China selepas mencipta sejarah sebagai pemenang pingat termuda dalam sejarah Kejohanan Renang Dunia apabila meraih pingat pada ketika usianya hanya 12 tahun, tahun lalu.
Walaupun baru berusia 13 tahun, bakat luar biasa Yu menjadikannya antara prospek utama China dalam acara renang.
Kontinjen China turut dibarisi 36 juara Sukan Olimpik, termasuk jaguh terjun Wang Zongyuan dan Chen Yuxi serta bintang pingpong, Sun Yingsha dan Wang Manyu.
Bagaimanapun, juara perseorangan wanita tenis Sukan Olimpik Paris 2024, Zheng Qinwen, tidak disenaraikan dalam kontinjen tersebut.
Wang Zongyuan berkata Sukan Asia merupakan temasya sukan pelbagai acara bertaraf tertinggi di rantau Asia dan menjadi ujian sebenar terhadap persiapan atlet.
“Kami akan memperlihatkan standard dan kekuatan China di pentas serantau serta global,” katanya.
Dengan barisan atlet berpengalaman serta kemunculan bakat muda seperti Yu, China dijangka sekali lagi menjadi kuasa utama dalam perebutan kejuaraan keseluruhan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.