Setiausaha Agung Akuatik Malaysia (MAS), Andy Low, menjelaskan penerjun senior kebangsaan mempunyai tempoh hingga Sukan Asia untuk membuktikan kemampuan mereka.
Fokus sebelum ini terarah kepada barisan penerjun senior seperti Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri yang kurang mempamerkan prestasi memberangsangkan di pentas antarabangsa.
Advertisement
Justeru, Andy menegaskan Sukan Asia di Nagoya menjadi medan untuk mereka membuktikan sesuatu sebelum apa-apa perbincangan susulan dilakukan.
"Kalau atlet tidak dapat beraksi kerana kecederaan, mereka tidak boleh (disisihkan).
"Kami perlu patuhi kontrak. Atlet senior memiliki kontrak hingga Sukan Asia dan andai ia tidak dapat dipenuhi, kami perlu nasihati dan berbincang dengan mereka.
"Atlet tidak boleh beri alasan hanya kerana mereka sudah berusia, maka mereka meminta untuk bertanding di samping atlet berusia 32 tahun.
"Juara dunia ketika ini berusia 14 dan 16 tahun, jadi umur (bukan ukuran).
"Kalau nak jadi seperti mereka (juara dunia), maka atlet negara kena bekerja keras selain meraih pencapaian yang bagus," katanya.
Andy juga mengesahkan jurulatih yang dikhabarkan akan menyertai skuad kebangsaan renang dan terjun bakal diperkenalkan dalam masa terdekat susulan perbincangan positif di mesyuarat jawatankuasa kerja hari ini.
Calonnya mempunyai profil gah sebagai olimpian dari Amerika Syarikat dan juga Russia menjadi taruhan untuk memacu skuad negara ke tahap lebih yang tinggi.
"Kami dalam usaha memuktamadkan (khidmat) dua jurulatih penerjun dari Russia manakala seorang lagi terdiri daripada jurulatih tempatan.
"Seorang jurulatih renang dari Amerika Syarikat. Mereka adalah produk Sukan Olimpik," katanya lagi.