'Saya gembira sekali lagi dapat bekerjasama dengan Pei Tty'
Jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, anggap kehadiran bekas pemegang status nombor satu dunia, Wong Pei Tty, memperkuatkan barisan kejurulatihan beregu wanita negara adalah aset terbaik dalam membentuk pelapis kepada gandingan Pearly Tan-M Thinaah.
Kehadiran Pei Tty yang memulakan tugasan sejak 1 September lalu dijangka bakal membawa perubahan positif dalam beregu wanita negara yang ketika ini sedang melewati fasa pembentukan ke arah yang lebih baik.
"Pe Tty memang sangat bagus, sangat teliti dalam soal pembangunan pemain.
"Saya sangat gembira apabila diberitahu dia akan menyertai pasukan.
"Ia satu keputusan yang tepat, lagipun dia merupakan tenaga tempatan.
"Tiada keraguan tentang (kemampuan) Pei Tty," katanya.
Apa yang diperkatakan Rosman ada benarnya apabila Malaysia kembali mempertaruhkan skuad berpasukan wanita dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya selepas kali terakhir pada 2014.
Majoriti daripada mereka masih muda, namun keputusan untuk membentuk skuad berpasukan wanita sudah cukup untuk dijadikan bukti bahawa pendedahan dalam temasya itu menjadi titik tolak kepada kebangkitan skuad berpasukan wanita negara selepas ini.
Pei Tty antara pemangkin utama pembentukan gandingan elit Pearly-Thinaah antara 2010 hingga 2020 yang kini meletakkan nama mereka antara lima terbaik dunia.
"Pada awalnya kami tidak merancang untuk menghantar pasukan wanita. Tapi kami mahu mereka bersaing, kami tidak mahu pemain wanita ketinggalan.
"Memang pemain wanita negara tidak berapa kuat tapi ramai dalam pasukan ini berumur sekitar 22 tahun. Jadi ini satu pendedahan yang baik untuk merasai kejohanan tahap tinggi.
"Saya berpendapat ia satu keputusan yang baik oleh pihak pengurusan," katanya.