Tempoh 40 hari menuju temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya cukup kritikal buat pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom.
Ini kerana, Shah Firdaus bergelut dengan beberapa siri kecederaan sehingga meragut prestasi terbaiknya.
Dalam Sukan Komanwel Glasgow baru-baru ini, tumpuan terarah kepada kayuhan emas Datuk Azizulhasni Awang dalam acara keirin, pada ketika Shah Firdaus bergelut menemui pecutan terbaiknya.
Kronologi kecederaan Shah Firdaus bermula ketika Sukan Olimpik Paris 2024, di mana dia mengalami kecederaan lutut selepas terlibat dengan kemalangan dan terpaksa beraksi dalam kesakitan.
Pasukan perubatan mengesahkan terdapat retakan halus sehingga memerlukan pembedahan pada September tahun lalu.
Sekembalinya Shah Firdaus awal tahun ini, ia diiringi dengan harapan menggunung untuk dia kembali disegani.
Malah, statistik pecutan Shah Firdaus menunjukkan peningkatan menghampiri prestasi terbaiknya.
Persoalannya, apakah tempoh 40 hari ini mencukupi buat Shah Firdaus untuk kembali menjadi antara pencabar podium acara keirin dan pecut individu dalam Sukan Asia bulan depan.
Bagi mengulas mengenai perkara itu, bekas jaguh berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa, berkongsi pandangannya dengan wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
"(Pemulihannya) perlu dari satu langkah ke satu langkah seperti disarankan oleh doktor dan ahli fisioterapi. Ia tidak boleh dilangkau kerana ia adalah penentu masa depan kita.
"Ia akan memberikan kesan kepada prestasi, fizikal dan mental. Apabila kita melihat rakan sepasukan kita dapat berlatih dan mempamerkan prestasi tetapi kita tidak boleh, ia akan melemahkan mental kita dan akan rasa berputus asa.
"Kecederaan sesuatu yang di luar jangkaan dan boleh membuatkan atlet tertekan.
"Untuk kembali ke tahap sebenar, ia memang akan mengambil masa yang agak lama kerana ia di luar kawalan kita."