Skuad skuasy berpasukan wanita yakin mampu mengatasi tuan rumah di peringkat separuh akhir Sukan Asia 2026.
S. Sivasangari dan Aira Azman memastikan kemenangan bergaya ke atas Macau dalam suku akhir hari ini, untuk selangkah lagi menghampiri misi mempertahankan pingat emas yang diraih di Hangzhou 2022.
"Kami hanya perlu mengharungi dua perlawanan hari ini, ia sesuatu yang bagus.
"Kami teruja dan sedia menghadapi aksi esok. Jepun sebuah pasukan handalan tapi kami lebih bagus.
"Kami mempunyai pasukan yang mantap dan cergas.
"Kami hanya perlu berikan aksi terbaik.
"Tekanan memang terarah kami selaku juara bertahan tapi kami ketepikannya.
"Kami cemerlang dalam acara perseorangan dan fokus kini kepada berpasukan," kata Sivasangari.
Malaysia turut mengesahkan tempat ke separuh akhir berpasukan lelaki selepas mudah atasi tuan rumah, Jepun, dengan keputusan 2-0.
Perseorangan utama negara, Sanjay Jeeva menghadiahkan mata pertama buat negara selepas tewaskan Endo Tomotaka 3-1.
Pemenang pingat emas perseorangan di Aichi-Nagoya, Ng Eain Yow, yang turun selaku perseorangan kedua kemudian tidak berdepan masalah untuk memutlakkan kemenangan ke atas Tsukue Ryunosuke dengan keputusan 3-0.
Menanti Malaysia dalam separuh akhir esok ialah juara bertahan, India, yang mara selepas menundukkan Kuwait 2-0.