Usia baru 17 tahun, namun perenang Jepun Shin Ohashi sudah mencipta sejarah apabila memecahkan rekod dunia acara 200 meter kuak dada pada Sukan Asia di Tokyo Aquatics Centre, Koto-ku, Tokyo, semalam.
Ohashi mencatat masa 2 minit 04.83 saat, memperbaiki rekod dunia terdahulu 2:05.48 saat milik perenang China, Qin Haiyang, yang dilakukan pada Kejohanan Dunia 2023.
Lebih mengagumkan, Ohashi memadam rekod tersebut dengan perbezaan 0.65 saat, selain memperbaiki catatan terbaik peribadinya sebelum ini iaitu 2:06.59.
Kejayaan itu turut meletakkan Ohashi dalam kelompok istimewa apabila menjadi perenang lelaki termuda memecahkan rekod dunia individu kolam panjang (LC) sejak Michael Phelps melakukannya ketika berusia 17 tahun dalam acara 400m rampaian individu pada 2002.
Pencapaian Ohashi hadir tidak lama selepas dia membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa senior utama pada Kejohanan Pan Pacific bulan lalu.
Lebih menarik, sebelum ini Ohashi sudah menunjukkan potensinya apabila meraih pingat perak dalam acara 200m kuak dada pada Kejohanan Renang Remaja Dunia Akuatik 2025.
Kini, pada usia yang masih muda, Ohashi bukan sahaja muncul sebagai juara Asia, malah sudah mengukir namanya dalam buku sejarah renang dunia.