Habuan lumayan buat skuad sepak takraw lelaki negara, bakal menerima ganjaran RM10,000 setiap seorang susulan kejayaan menamatkan kemarau 36 tahun pingat emas acara regu berpasukan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Jelas Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, jumlah ganjaran tersebut diputuskan untuk dinaikkan daripada RM7,000 selepas mengambil kira kejayaan bersejarah skuad negara menewaskan Thailand 2-0 dalam aksi final di Nagoya City Mizuho Arena, Jumaat lalu.
Keputusan berkenaan juga telah dipersetujuai sebulat suara daripada barisan ahli majlis PSM sebagai tanda menghargai pengorbanan dan usaha ditunjukkan pemain sepanjang kempen di Jepun.
“Kami memang sudah menyediakan ganjaran, tetapi selepas melihat kejayaan mereka muncul juara, kami merasakan pemain wajar menerima penghargaan lebih tinggi. Semua ahli exco turut bersetuju untuk menaikkan jumlah itu,” katanya kepada Wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi yang turut bersama menyaksikan detik bersejarah itu diukir 'The Golden Tigers'.
Kejayaan itu juga menyaksikan Malaysia kembali bergelar juara acara regu berpasukan di temasya Sukan Asia selepas edisi Beijing 1990.
#Sukan Asia Aichi-Nagoya #Sepak Takraw #PSM #Sumali Reduan