Skuad sepak takraw wanita negara tumpas di tangan Indonesia 1-2 dalam perlawanan kumpulan Sukan Asia Aichi-Nagoya di Nagoya di Gimnasium Taman Mizuho Bandar Nagoya, sebentar tadi.
Set pertama menyaksikan wakil negara berhempas pulas untuk terlebih dahulu berada di hadapan menerusi mata 17-16.
Namun, pihak lawan tampil dengan permainan berbeza pada set kedua, sekali gus mengikat kedudukan 1-1 hasil kemenangan 15-11.
Tidak menunggu lama, Indonesia memberikan kekalahan pertama pasukan kebangsaan tatkala menutup set penentuan dengan 15-12 yang menjadi kemenangan kedua mereka untuk menempah tiket ke peringkat seterusnya.
Terdahulu, Malaysia turut memperoleh kemenangan bersih menewaskan Laos 2-0 pada semalam.
Srikandi negara itu akan turun berdepan tuan rumah, Jepun, dengan misi wajib menang petang ini.