Penampilan pertama Sukan Asia Aichi-Nagoya meninggalkan kesan mendalam dan memberi tamparan hebat buat Chin Ken Haw.
Ini kerana, atlet taekwondo negara itu hanya selangkah untuk menduduki podium acara poomsae individu 'recognized dan freestyle' selepas menempatkan diri dalam pusingan akhir, yang menghimpunkan lapan atlet keseluruhan.
Debaran dan tekanan memuncak menghancurkan aspirasi itu dan atlet berusia 21 tahun kelahiran Sarawak berkenaan terpaksa berputih mata di kedudukan kedua tercorot.
Untuk rekod, Ken Haw membawa pulang pingat dalam setiap kejohanan utama disertainya seperti gangsa dalam Sukan SEA Thailand dan gangsa acara berpasukan dalam Kejohanan Dunia 2026.
"Apa yang paling penting adalah beraksi dengan baik tetapi saya melakukan kesilapan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
"Saya amat kecewa dengan diri saya. Bagi saya, ia satu peluang besar yang sudah terhidang untuk saya mendapatkan pingat buat Malaysia tetapi saya melakukan kesilapan kerana terlalu mencuba, jadi saya menerima padah."