Skip to main content

Sukan Asia

Sukan Asia Aichi-Nagoya: Pemenang pingat emas tidak terima ganjaran wang kerana terlalu muda!

Sukan Asia Aichi-Nagoya: Pemenang pingat emas tidak terima ganjaran wang kerana terlalu muda!
Advertisement

Yuki Kurihara mencipta sejarah sebagai pemenang pingat termuda dalam sejarah Sukan Asia selepas membantu Jepun meraih pingat emas e-sukan buat kali pertama, namun usia mudanya menyebabkan dia tidak menerima sebarang ganjaran wang kemenangan.

Kurihara yang berusia 11 tahun menewaskan wakil Korea Selatan, Kang Dong-shin, 10-2 dalam final permainan puzzle Puyo Puyo 26 September lalu.

Advertisement

Selepas tewas dalam permainan pembukaan, pelajar tahun lima itu pantas menyesuaikan diri sebelum menghasilkan kombinasi yang cukup baik untuk mendominasi perlawanan.

Kejayaan itu turut menyaksikan Kurihara memecahkan rekod atlet termuda memenangi pingat Sukan Asia yang sebelum ini dipegang atlet papan selaju Indonesia, Nishiya Momiji, pada edisi 2018.

Advertisement

Kurihara yang mewakili pasukan e-sukan Tokyo Verdy mula bermain Puyo Puyo ketika di tadika selepas menerima permainan itu sebagai hadiah Krismas.

Dia mula mengambil bahagian dalam pertandingan secara serius ketika berada di tahun pertama persekolahan.

Perjalanan Kurihara menuju emas di Nagoya turut berlangsung cemerlang apabila dia menewaskan wakil Singapura pada suku akhir sebelum mengatasi atlet Thailand 10-1 di separuh akhir.

Dia kemudian menundukkan Kang 10-2 dalam perlawanan akhir untuk mencipta sejarah.

Namun, kejayaan besar itu tidak disusuli ganjaran wang seperti yang lazim diterima atlet senior.

Sebelum ini, peraturan e-sukan Jepun tidak membenarkan pemain berusia bawah 13 tahun memiliki lesen profesional.

Japan esports Union (JeSU) pada Februari 2026 mengubah peraturan berkenaan dengan memansuhkan had umur 13 tahun, sekali gus membolehkan Kurihara menjadi pelajar sekolah rendah pertama memiliki lesen atlet e-sukan profesional.

Bagaimanapun, peraturan tersebut masih menetapkan pemain sekolah menengah rendah atau lebih muda hanya boleh menerima barangan atau ganjaran khas, bukannya wang tunai.

Justeru, Kurihara masih belum menerima sebarang pendapatan wang daripada kemenangan dalam kejohanan.

Ketika menjuarai GigaCrysta Puyo Puyo Grand Prix Final pada Februari lalu, hadiah juara standard bernilai satu juta yen (sekitar RM25,812) juga digantikan dengan hadiah khas daripada penerbit permainan, Sega.

Bagi kejayaan di Sukan Asia pula, Nikkan Sports melaporkan JeSU ketika ini tidak mempunyai rancangan memberikan bonus wang kepada Kurihara.

Situasi itu berbeza dengan beberapa badan sukan Jepun lain seperti olahraga yang menawarkan ganjaran satu juta yen kepada atlet yang memenangi pingat emas.

JeSU juga dijangka tidak memberikan bonus wang kepada pasukan yang memenangi emas Puyo Puyo, manakala kelab Kurihara, Tokyo Verdy, masih belum membuat keputusan mengenai sebarang bonus untuk pemain muda berkenaan.

Bagaimanapun, Kurihara tidak terlalu mengambil berat mengenai soal hadiah wang.

Ketika ditanya apa yang akan dilakukannya sekiranya menerima wang, kanak-kanak berusia 11 tahun itu berkata dia mahu membeli batu permata berwarna biru kerana gemar melihat sesuatu yang berkilauan.

Di luar dunia Puyo Puyo, Kurihara turut meminati pingpong dan bola sepak selain mengumpul batu semula jadi serta menaiki laluan kereta api bawah tanah Chiyoda di Tokyo.

Dia turut mempunyai impian untuk menjadi pemandu kereta api atau guru pada masa depan.

Selepas memenangi emas Sukan Asia, Kurihara mengakui gembira dengan pencapaiannya, namun mengakui sedikit malu sehingga tidak menunjukkan emosi secara berlebihan.

Lebih menarik, ketika ditanya mengenai ganjaran kemenangan, Kurihara kelihatan terkejut dan bertanya sama ada dia akan menerima wang.

Biarpun tidak pulang dengan ganjaran kewangan, kejayaan di Nagoya tetap menjadikan Kurihara sebahagian daripada sejarah Sukan Asia sebagai atlet termuda memenangi pingat dalam temasya berkenaan.

Anda mungkin berminat dengan

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Must Watch Video