Jaguh skuasy perseorangan lelaki negara, Ng Eain Yow, sedia menghadapi tekanan berbeza dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya apabila bakal turun dengan status selaku juara bertahan, bukan lagi pencabar.
Jelas pemilik juara edisi 2022 di Hangzhou China itu, misi mempertahankan gelaran bukan sesuatu yang mudah tatkala dia perlu berdepan cabaran sengit daripada barisan pemain muda meningkat naik dari seluruh rantau Asia.
Atlet berusia 28 tahun yang bakal melakukan penampilan ketiga dalam temasya berprestij itu percaya kematangan serta pengalaman yang dimilikinya mampu dijadikan aset dalam mengharungi cabaran sebagai pilihan utama kejohanan.
"Saya mahu pertahan kejuaraan dan sedar perlu beraksi mantap untuk menjayakannya.
"Dengan penyertaan kali ketiga ini, saya kini berpengalaman lebih luas dan saya hanya hanya perlu fokus.
"Biarpun kali ini lebih banyak pendedahan media tapi bagi saya kali ini tetap serupa, saya cuma perlu kuatkan mental," katanya.
Gandingan beregu campuran negara, Syafiq Kamal dan Aifa Azman, pula memasang impian untuk membawa pulang emas bagi menebus kekecewaan edisi lalu selepas tewas 0-2 kepada wakil India dalam final.
"Gandingan kami baru dibentuk disebabkan komitmen dalam acara perseorangan selain kecederaan yang menimpa Aifa.
"Kami mula berlatih bersama semula sejak seminggu lalu dan persefahaman kami bertambah baik," katanya dalam lawatan Chef-de-mission (CDM) Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Datuk Mohd Sumali Reduan, di Pusat Skuasy Negara, Jalan Duta Kuala Lumpur.
"Kami mahu menukar perak kepada emas tapi kami tidak tertekan.
"Kami terlepas dua kejohanan sebelum ini yang menyebabkan kami belum dapat bergandingan pada tahun ini.
"Kami mudah berkomunikasi kerana sudah lama berada dalam kem kebangsaan.
"Dalam tempoh tiga minggu ini saya harap ia akan semakin bagus untuk menghadapi Sukan Asia," katanya.