Bekas atlet sepak takraw kebangsaan, Engku Halim Ku Musa, beranggapan apa yang berhasil dilakukan sahabatnya, Ahmad Jais Baharun, dengan kemampuan dan pengalaman ia sesuatu yang tidak mengejutkan.
Halim berkongsikan Ahmad Jais mengetahui perit jerih yang dihadapi hanya untuk membanggakan negara, dan menjadi motivasi terbaik dalam membentuk skuad yang mampu mengakhiri penantian emas setelah sekian lama.
"Saya ucapkan tahniah kepada Ahmad Jais atas kesabaran, dia percaya membawa kemenangan. Sebelum ini di Sukan SEA, sekarang di Sukan Asia.
"Pengalaman semasa menerima hadiah, emosi yang berbeza apabila lagu Negaraku berkumandang, kita berada di situ ia satu kepuasan. Perasaan sayu dalam gembira," katanya.
Hajat sama yang diinginkan Halim -yang unggul di dua posisi suatu ketika dulu- adalah untuk skuad kebangsaan mencipta kejayaan dengan meraih dua emas, meskipun perbezaan format yang sangat signifikan, jika hendak dibandingkan kedua-dua zaman.
"Zaman kami dahulu kami menggunakan kaedah pengiraan 15 mata, jadi pemain perlu ada daya ketahanan mental dan fizikal yang tinggi.
"Mata akan bergerak apabila buat servis, rejaman atau hadangan. Sekarang lebih pada kekuatan, fleksibiliti dan mereka tidak boleh buat silap.
"Konsisten penting agar pemain tak buat kesilapan, ambik kesempatan tahun ini untuk bawa pulang dua emas terus." tambahnya.