Skuad e-sukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Malaysia terpaksa berputih mata apabila terlepas ke Grand Final Sukan Asia Aichi-Nagoya selepas tewas 0-2 kepada Myanmar dalam perlawanan separuh akhir semalam.
Keputusan itu rata-rata mengejutkan harapan peminat tempatan yang menjangkakan kontinjen negara tidak berdepan masalah untuk menempah tiket ke aksi akhir, namun pihak lawan nyata lebih layak tatkala mengambil kesempatan daripada kesilapan pemain negara.
Perjalanan pasukan kebangsaan yang dibintangi pemain dari Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPLMY) terlebih dahulu mudah mengalahkan Indonesia 2-0 sebelum menumpaskan Arab Saudi 2-1.
Impian Malaysia semakin bersinar apabila melayakkan diri ke separuh akhir dengan menundukkan Jordan 2-0. Bagaimanapun terpaksa akur dengan kehebatan Myanmar yang menghalang misi berharga kem negara.
Tiga tonggak dari Selangor Red Giants (SRG), Qayyum Ariffin Suhairi (Yums), Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman, (Sekys), Haziq Danish Mohamad Rizwan (Stormie), Danish Fitri Razman (Unii) dan beberapa pemain lain, Danial Fuad (Cikugais) serta Razif Sazali (Sizkaa) pulang dengan meraih pingat gangsa bersama Mongolia.
Sementara itu, Indonesia yang mendapat peluang kedua menerusi kebangkitan aksi menewaskan Arab Saudi, Filipina dan Mongolia akan berentap dalam final memburu pingat emas bertemu Myanmar di Aichi Sky Expo, hari ini.
Secara keseluruhan setakat ini, sektor e-sukan memungut satu emas menerusi judul permainan Gran Turismo Seven, dua pingat perak dari e-football dan Honor of Kings (HOK), selain gangsa dalam MLBB.