Skip to main content

Sukan Asia

Sukan Asia Aichi-Nagoya: Juara Olimpik menangis selepas terlupa tarik picu, terlepas slot ke final

Sukan Asia Aichi-Nagoya: Juara Olimpik menangis selepas terlupa tarik picu, terlepas slot ke final
Advertisement

Juara Olimpik Korea Selatan, Yang Ji-in, tidak dapat menahan air mata selepas kesilapan asas ketika pusingan kelayakan menafikan peluangnya mara ke final acara pistol 25 meter individu wanita di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Atlet berusia 23 tahun itu hadir ke temasya berkenaan sebagai antara calon utama untuk merebut emas selepas memenangi gelaran Olimpik selain berada di ranking dunia kedua di belakang atlet India, Esha Singh.

Advertisement

Pusingan kelayakan pistol 25 meter merangkumi peringkat precision dan rapid-fire, dengan lapan atlet terbaik keseluruhan layak ke final.

Dalam pusingan precision pada Ahad, Yang mempamerkan prestasi cemerlang apabila mendahului saingan dengan 292 mata, mengatasi pencabar dari Iran, Vietnam dan Korea Utara.

Advertisement

Namun, kesilapan berlaku ketika peringkat rapid-fire yang menetapkan had tiga saat untuk setiap tembakan.

Selepas 20 tembakan, Yang masih berada dalam kelompok pendahulu sebelum terlupa menarik picu pada percubaan ke-21 dalam tempoh ditetapkan.

Kesilapan itu menyebabkan tembakan berkenaan dikira sebagai gagal dengan sifar mata.

Walaupun berjaya menyelesaikan sembilan tembakan terakhir, Yang tidak mampu mengatasi defisit mata yang terhasil.

Dia menamatkan pusingan kelayakan di tempat ke-17 dengan jumlah 575 mata, ketinggalan enam mata daripada kedudukan kelapan yang melayakkan diri ke final.

Kesilapan itu turut memberi kesan kepada saingan berpasukan kerana keputusan tiga atlet terbaik setiap negara digabungkan untuk menentukan kedudukan pasukan.

Trio Korea Selatan yang dibarisi Yang, Oh Ye-jin dan Bong Seo-rin meraih pingat perak dengan jumlah 1,735 mata, ketinggalan lapan mata kepada China yang memenangi emas.

Yang terus menitiskan air mata sebaik sahaja menyelesaikan saingan dan dipujuk oleh rakan sepasukannya yang turut gagal menahan sebak.

Ketika melalui zon temu bual, Yang yang jelas kecewa turut memohon maaf kepada rakan sepasukan atas kesilapan yang dilakukannya.

Kesilapan itu mendapat perhatian meluas media Korea Selatan, dengan laporan tempatan menyorot bagaimana satu kesilapan kecil memberi kesan kepada peluang pasukan memburu emas.

Dalam final individu pada Isnin, atlet Korea Selatan, Bong Seo-rin, menjadi peserta pertama tersingkir.

Emas akhirnya menjadi milik atlet China, Xiao Jiaruixuan, yang mengumpul 38 mata selepas menewaskan Esha Singh menerusi penentuan shoot-off.

Kim Hyon-suk dari Korea Utara meraih gangsa, manakala wakil Vietnam, Trinh Thu Vinh, menamatkan saingan di tempat keempat.

China ketika ini mendominasi kutipan pingat acara menembak di Sukan Asia dengan 16 emas, lima perak dan dua gangsa.

Qatar dan India berada di belakang China, manakala Korea Selatan menduduki tempat keempat dengan satu emas menerusi Choo Ga-eun dalam acara pistol angin 10 meter individu wanita.

Anda mungkin berminat dengan

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Must Watch Video