Datuk Azizulhasni Awang mengakui bukan mudah untuk melakar kemenangan hatrik dalam acara keirin sepanjang 2026, namun pengalaman dan ketahanan mental menjadi antara kunci kejayaannya merangkul emas Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Kemenangan di Velodrom Izu itu melengkapkan koleksi kemenangan keirin Azizulhasni tahun ini selepas turut muncul juara di Perth, Nilai dan Sukan Komanwel, sebelum sekali lagi berdiri di podium tertinggi di Sukan Asia.
“Bukan mudah untuk melakar kemenangan hatrik acara keirin bagi tahun 2026, dari Perth, Nilai kemudian Sukan Komanwel dan yang terbaru di Sukan Asia.
“Rata-rata pencabar saya berusia 22 tahun. Saya membuat persiapan secara bersendirian di Melbourne sebelum menyertai skuad kebangsaan bagi tempoh tiga minggu,” katanya.
Lebih mencabar, Azizulhasni berkata dia sendiri tidak pasti sama ada khidmat dan pengalamannya masih diperlukan oleh skuad negara ketika membuat persiapan untuk Sukan Asia.
“Ketika itu saya tidak mengetahui sama ada keringat saya masih lagi diperlukan ataupun tidak.
“Namun saya tetap memberikan yang terbaik buat negara,” katanya.
Final keirin di Izu turut menguji kemampuan Azizulhasni apabila perlumbaan berlangsung dalam tempo yang amat pantas.
“Final keirin kali ini cukup sukar kerana perlumbaan yang cukup pantas.
“Saya meletakkan kemenangan ini kehendak Allah. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kejayaan kami di sini,” katanya.
Namun, di sebalik emas yang diraih, terdapat satu nama yang cukup istimewa buat Azizulhasni.
John Beasley.
Azizulhasni mendedikasikan kemenangan tersebut kepada jurulatih berkenaan yang bakal menamatkan tugasnya bersama skuad negara.
“Kemenangan ini saya hadiahkan untuk John Beasley kerana ini adalah tugas kedua terakhir bersama Malaysia sebelum kami ke Shanghai untuk menghadapi Kejohanan Dunia,” katanya.
Selepas bertahun-tahun berkongsi pentas kejayaan, emas Izu menjadi satu lagi kenangan istimewa buat Azizulhasni dan Beasley sebelum mereka menutup tugasan bersama di Kejohanan Dunia di Shanghai.