Hasrat atlet jiu-jitsu negara, Adam Akasyah, untuk melangkah jauh menerusi penampilan sulungnya dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya tidak kesampaian apabila kandas dalam pusingan kedua.
Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2023 itu, yang beraksi bagi kategori B-77 kilogram, bermula baik apabila mudah menundukkan pesaing dari Jordan, Alaaldin Al-Kuzai, dengan 'win by submission' dalam pusingan pertama.
Bagaimanapun, dalam pusingan kedua, Adam, yang juga wakil tunggal negara, berdepan pencabar dari Korea Selatan, Koo Bon-cheol dan terpaksa akur tewas 2-0 sekali gus gagal ke suku akhir.
"Perlawanan pertama amat baik, dia amat fokus apabila berada dalam zonnya. Dia turun dan menghambat lawannya" kata ketua jurulatih skuad negara, Tee Lip Jin, kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Dalam perlawanan kedua, dia berdepan lawan yang sudah dua kali bertemu sebelum ini, dan setiap kali bertemu, dia bertambah baik.
"Pertemuan kali ini agak baik sebenarnya kerana dia dapat mengeluarkan serangannya ketika bergelut tetapi malangnya dia kalah take-down."