Jaguh lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila menamatkan saingan final lempar cakera Sukan Asia Aichi-Nagoya di tempat ke-10 daripada 11 peserta sebentar tadi.
Aksi di Stadium Olahraga Mizuho malam ini jelas tidak memihak Irfan apabila dia sekadar mencatatkan lemparan terbaik 56.37m menerusi percubaan keduanya.
Ia jelas bukan prestasi terbaik wakil negara itu memandangkan dia baru sahaja memecahkan rekod kebangsaan dengan lemparan sejauh 62.87 meter pada Jun lalu.
"Saya dah cuba sehabis baik dan apa yang saya kesal sekarang ini, saya kerja keras untuk persiapan ini dan saya mengorbankan banyak perkara hanya untuk ini," katanya dalam keadaan menahan sebak kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Saya mohon maaf kepada seluruh peminat sukan olahraga dan peminat sukan. Saya sudah berjuang sehabis baik dan tidak boleh beri apa-apa alasan."