'Sasaran bukan sekadar sasaran.'
Enam pingat emas yang disasarkan dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya dianggap sangat releven merujuk kepada kecemerlangan beberapa sukan yang dilihat mampu merealisasikan harapan negara.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, menegaskan sasaran enam emas dan 33 pingat secara keseluruhan sangat releven berdasarkan penilaian daripada pelbagai sudut.
"Kami tidak letak sasaran tanpa apa-apa asas.
"Kami telah adakan penilaian dan perbincangan, setiap persatuan sukan telah memberikan komitmen yang penuh.
"Saya sangat optimis dan (berdasarkan) latihan yang dilaksanakan atlet, kita mampu.
"Kami meletakkan sasaran warna pingat kerana inilah yang akan membawa kita ke temasya lain seperti Sukan SEA dan akhirnya LA 2028," katanya.
Tambahnya, situasi cuaca di Jepun tidak membimbangkan memandangkan setiap perkembangan semasa segera dikongsi pihak tuan rumah sebelum bermulanya temasya.
"Walaupun cuaca agak tidak baik di sana, kami, tuan rumah dan wakil di sana sentiasa memantau pelan luar jangkaan selain SOP (prosedur operasi standard) yang jelas telah dikeluarkan oleh MSN (Majlis Sukan Negara).
"Saya sendiri akan ke Aichi-Nagoya pada 18 Oktober untuk sama-sama memberikan semangat kepada kontinjen negara," katanya.
Taufiq ditemui ketika menyampaikan Anugerah Khas Menteri Belia dan Sukan yang turut menyenaraikan atlet muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, sebagai rakyat Malaysia pertama merangkul tali pinggang dunia interim One Championship kategori strawweight muay thai, 24 Julai lalu.